SEPANG 24 Nov. – Kolej Profesional dan Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menawarkan empat kursus baharu diploma pada 2019.
Presiden KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Hussein berkata, empat kursus tersebut adalah Diploma Kejuruteraan Pembinaan, Diploma Pelancongan, Diploma Hospitaliti dan Diploma Lif dan Eskelator.
“Buat masa ini, kita menawarkan lima kursus diploma dan sekiranya usaha kami ini mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), insya-Allah sembilan kursus akan ditawarkan.
“Penawaran kursus ini dibuat mengikut keperluan masa kini iaitu sejajar Revolusi Industri 4.0 dan menepati kehendak pasaran kerjaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA di sini hari ini.
Menurutnya, kampus Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA di sini dijangka berpindah di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan pada tahun depan bagi menampung pertambahan pelajar.
Katanya, pelbagai usaha dirancang pihaknya termasuk menambah baik fasiliti dan modul pengajaran selaras kehendak masa kini.
“Malah kolej ini menerima perakuan Standard Malaysia (MS) ISO 9001:2015 baru-baru ini kerana berjaya memenuhi standard SIRIM, ini sedikit sebanyak melonjakkan nama kami dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Terdahulu, Jamilus menyampaikan diploma kepada 276 graduan daripada jurusan Profesional Pengurusan Pembinaan, Pengurusan Pentadbiran Perniagaan, Pengurusan Penerbangan serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Dalam majlis itu, dua individu menerima anugerah iaitu Datuk Ir. Abdul Nasir Abdul Razak yang merangkul Anugerah Tokoh Industri Penerbangan, manakala Ir. Bakri Ishak diumum penerima Anugerah Tokoh Industri Pembinaan.
Pada majlis sama juga, seorang graduan wanita yang merupakan lulusan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Nazwin Azman dinobatkan pelajar terbaik dengan menerima Anugerah Tan Sri Ir. Jamilus.